02 September 2009

saat terakhir Rasulullah S.A.W

12:25 PM


Aisyah berkata : "Saudaraku Abdul Rahman bin Abu Bakar,dia masuk dan bersamanya sebatang kayu sugi yang baru serta belum dilembutkan lagi. Maka aku ternampak Rasulullah melihat padanya dan Baginda suka bersugi"
Adakah kamu semua sukakan apa yang Baginda sukai???
Abdul Rahman bin Abu Bakar berkata : "Wahai Rasulullah,adakah kamu mahukannya?"
Baginda memberi isyarat dengan kepalanya ketika lidahnya tidak dapat bertutur lagi dan tidak didengari apa-apa dari Baginda. Perkara akhir yang disebut oleh Baginda adalah "Allah. Allah. Solat. Solat."
Apakah yang kamu lakukan terhadap wasiat pada saat-saat terakhir Baginda di dunia ini???
Itulah hubunganmu dengan Tuhanmu supaya kamu ketahui solat yang hakiki.
Wahai orang yang mendahulukan pekerjaan dunianya dan hawa nafsu sebelum solat,mendahulukan lenanya sebelum solat,wasiat Nabimu yang terakhir adalah apa yang dituturkan : "Solat, solat. Berwasiatlah kebaikan pada para wanita,aku berwasiat padamu berbaik-baik dengan keluargamu"
Kemudian lidah Baginda menjadi kaku dan roh Baginda yang mulia masih belum dicabut. Ia masih berkata-kata dan ini adalah salah satu cerita tentang keadaan roh Baginda S.A.W. Kalaulah tidak kerana wujudnya hayat Baginda dalam diri kita,nescaya kita tidak tersentak ketika disebut tentang kewafatan Baginda. Getaran hatimu ketika disebutkan kewafatan Baginda adalah sebahagian dari petunjuk yang nyata bahawa kewafatan Baginda adalah satu kehidupan. Apakah jenis kematian yang dapat menggerakkan hati-hati???..
Lidah Baginda menjadi kaku. Aisyah berkata : "Tidakkah kamu suka jika diberi kayu sugi?"
Baginda memberi isyarat dengan kepalanya tanda keinginannya. Maka Aisyah berikannya kayu sugi yang belum dilembutkan itu. Kemudian Aisyah mengambilnya dari tangan Baginda ketika mana Aisyah melihat Baginda tidak dapat bersugi kerana ianya keras. Maka Aisyah mengambilnya serta melembutkannya dengan mulutnya. Aisyah berkata : "Aku berbangga di kalangan sahabat-sahabatku kerana benda terakhir memasuki mulut Baginda adalah air liurku. Aku meletakkannya di dalam mulut Baginda. Baginda memegang dengan tangannya sendiri."
Baginda semakin nazak. Cahaya memancar pada wajahnya. Ia juga meliputi keluarganya. Roh Baginda pun sampai ke halqumnya. Baginda menutup kedua belah matanya. Baginda menunjukkan syarat dengan jari ketauhidannya. Baginda menghirup nafas terakhirnya di dunia ini lalu menyerahkan rohnya pada Tuhannya. Sejahteralah jasad Baginda setelah melalui hari-harinya yang memenatkan serta meletihkan disebabkan kita. Sejahteralah jasad Baginda dapat berehat setelah perutnya yang diikat dengan batu kerana kelaparan disebabkan kita. Sejahteralah jasad yang pernah dilemparkan dengan batu sehingga melukakannya disebabkan kita. Sejahteralah jasad Baginda yang pernah dipatahkan gerahamnya disebabkan kita. Sejahteralah jasad Baginda yang pernah dilukakan dahinya dan mengalirlah darahnya lalu Baginda menahan dengan tangannya untuk menjaga darah yang bersih itu dari terjatuh ke tanah sebagai rahmat bagi mereka kita dari kermukaan Allah. Sejahteralah jasad Baginda yang pernah dimasuki sesuatu ke dalam daging pipinya disebabkan kita. Sejahteralah jasad Baginda yang mana kakinya bengkak disebabkan kita,pengabdiannya pada Allah serta dakwah untuk kita. Sejahteralah jasad Baginda yang memikul kesukaran,keletihan,kesakitan dan kelaparan disebabkan kita. Apabila penghuni rumah itu melihat pemergian ketua mereka setelah roh meninggalkan jasadnya maka rumah itu diselubungi dengan tangisan. Apabila keadaan sedemikian, masjid pun diselubungi dengan kesedihan. Ketahuilah bahawa kepedihan telah menimpa Nabi. Berita Kewafatan Nabi S.A.W pun tersebar ke sluruh Madinah. Saidina Ali Bin Abu Talib berada di sisi Baginda. Ketika beliau melihat goncangan rohnya ketika itu,dia melihat Aisyah menangis. Dia membawa dan meletakkan Baginda dibiliknya. Ketika roh Baginda keluar Saidina Ali Bin Abu Talib terjatuh. Beliau tidak lagi dapat berdiri. Ketika tangisan menyelubungi rumah itu,kedengaran satu suara yang tidak diketahui siapakah yang menuturnya. Mereka mendengar suara itu menyebut "Kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali"
"Wahai penghuni rumah tersebut,Allah membesarkan pahalamu. Bersabarlah dan muhasabahlah dengan musibah itu sesungguhnya Rasulullah S.A.W mendahuluimu sekalian di syurga."
Lalu mereka terdiam dan menjadi tenang. Setelah suara itu berhenti mereka menangis lagi. Demi Allah tuhan yang disembah,kita tidak diberi musibah seperti yang mereka rasakan. Tiada sebuah rumah pun yang merasa kehilangan seperti mereka rasai..
Khabar itu tersebar di Madinah. Para sahabat kebingungan. Wahai para sahabat,Tidakkah kamu ketahui bahawasanya Baginda adalah manusia dan akan wafat. Para sahabat berkata : "Ya. tetapi kehidupannya kekal di dalam diri kami dan memberi tamparan hebat ke dalam jiwa kami."
Bergetarlah hati para sahabat. Mereka bertempikan. Saidina Umar Bin Al-Khattab mengeluarkan pedangnya dan mengimbarkannya di jalan. Beliau hilang pertimbangan kerana kesedihan itu lalu beliau berteriak : "Sekelompok dari golongan munafik berkata bahawa Rasulullah telah mati. Rasulullah tidak mati! Akan tetapi Baginda menuju kepada Tuhannya sepertimana perginya Nabi Musa dan Baginda kembali pada kita. Sesiapa yang mendakwa bahawa Rasulullah telah mati, aku akan mengenakannya dengan pedangku ini."
Telah sampai berita kepada Abdullah Bin Zaid R.A. Beliau menangis lalu mengangkat tangannya dan berdoa : "Ya Allah. Ambillah penglihatanku ini sehingga aku tidak dapat melihat sesiapa pun selepas Nabi Muhammad S.A.W.". Beliau hilang penglihatannya pada waktu itu juga.
Seorang lagi sahabat telah sampai padanya berita itu lalu berteriak : "Ya Allah. Ambillah nyawaku dan tiada lagi kehidupan selepas Nabi Muhammad S.A.W.". Maka Allah mengambil nyawanya ketika itu juga lalu rebahlah sahabat itu.
Saidina Usman Bin Affan membisu tidak dapat berkata apa-apa. Ketika fikiran mereka terganggu,mereka kebingungan. Telah sampai satu berita kepada Abu Bakar As-Siddiq,dia berada dalam keadaan yang meyedihkan itu. Dia menuju Madinah lalu memasuki Masjid Nabawi dan Saidina Umar serta shabat lain dalam kepiluan. Beliau melintas masjid sehingga sampai ke bilik Rasulullah S.A.W. Beliau meminta izin dari penghuni rumah itu lalu diizinkan masuk. Saidina Abu Bakar masuk dalam keadaan dadanya berdebaran dan dia keluh kesah seolah-olah nyawanya yang dicabut. Beliau menangis dan didengari darinya seperti suara mengeletar yang memasuki air. Dia memaling sambil airmatanya mencurah-curah dan jasad Nabi diliputi kain. Beliau membuka kain yang menutupi itu untuk menatap wajah yang paling mulia itu. Beliau memandang wajah Nabi dengan sepenuh perhatian pandangannya. Beliau mencium muka dan pipi Baginda. Beliau menangis sambil berkata : "Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah, betapa mulianya kehidupan dan kewafatanmu. Allah tidak akan merasakan untukmu kewafatan kali kedua. Jika tangisan ini bermanfaat bagimu,nescaya kami akan biarkan airmata ini terus berlinangan.Tetapi tiada tempat mengadu melainkan Allah. Kita adalah milik Allah dan padaNya kita akan kembali. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan kamu wahai Muhammad adalah utusan Allah. Kau telah tunaikan risalah dan sampaikan amanah dan meninggalkan kami di atas jalan yang bersih.". Nafas beliau tersedu-sedu sambil menangis. Beliau memandang Rasulullah S.A.W lalu berkata : "Ingatilah kami di sisi Tuhanmu wahai Muhammad."
Beliau mengusap kedua mata Baginda yang mulia itu dengan tangannya. Beliau menutup wajah Baginda yang mulia itu dengan kain. Lalu menghadap kepada keluarga Baginda untuk menenangkan mereka. Para Wanita dalam rumah itu pun menangis kerana tangisan Abu Bakar terhadap Rasulullah S.A.W. Abu Bakar pun keluar. Beliau menaiki membar kekasihnya. Beliau menaiki mimbar tuannya. Beliau menaiki mimbar imamnya. Selepas memuji Allah, beliau membaca Firman Allah lalu berbicara panjang dan berselawat ke atas Nabi. Kemudian beliau menyebut : "Setiap jiwa akan merasai kematian. Tidaklah Muhammad itu melainkan Rasul dan sebelumnya ada para rasul. Kamu mati dan mereka juga mati. Sesiapa yang menyembah Nabi Muhammad maka Baginda telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah maka Allah itu hidup dan tidak mati." Disini terdapat pengertian yang mendalam. Bukanlah pengertian yang difahami oleh mereka yang jahil pada hari ini pada perkataan "Sesiapa yang menyembah Nabi Muhammad maka Baginda telah wafat". Mereka memahami putusnya hubungan dengan Nabi. Demi Allah tuhan yang disembah, ertinya di sini ialah sesiapa yang mengaitkan dirinya dengan kehidupan Nabi di dunia sahaja, maka kehidupan Baginda di dunia telah tamat. Maka Nabi Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menjadikan hubungannya dengan Nabi Muhammad sama seperti hubungannya dengan Allah, maka Allah itu Maha Hidup dan tidak mati. Dengan pengertian bahawa hubunganmu dengan Nabi Muhammad tidak akan berakhir. Ini disebabkan hubungan dengan Baginda ada kaitannya dengan Allah Yang Maha Hidup. Inilah kaitan yang hidup dan tidak mati. Beliau berpaling kepada Umar Bin Al-Khattab dan memujuknya dari kebimbangannya. Saidina Ali Bin Abu Talib bangun setelah terjatuh kesedihan. Beliau dan Abbas menguruskan Rasulullah S.A.W bersama Fadhi Bin Abbas dan Abdullah Bin Abbas. Maka Fadhi Bin Abbas menolong Saidina Ali Bin Abu Talib. Beliau berbincang dengannya : "Adakah patut kita menanggalkan pakaian Baginda ataupun kita memandikannya beserta pakaian Baginda?" Beliau berkata : "Kami diutuskan dengan angin yang sepoi-sepoi lagi dingin menyebabkan kami mengantuk lalu terdengar satu suara berkata supaya Baginda dimandikan bersama-sama pakaian tanpa mendedahkan auratnya." Beliau berkata : "Kami memandikannya bersama pakaiannya. Ketika mana kami hendak mengalihnyake kanan,maka Baginda menghadap ke kanan dengan sendirinya. Ketika mana kami hendak mengalihnya ke kiri, maka Baginda menghadap ke kiri dengan sendirinya. Kami tidak mendapati seseorang pun yang membantu kami untuk memandikannya melainkan jasad Baginda sendiri yang berubah kedudukannya. Ketika kami memandikannya, angin yang sejuk serta nyaman bertiupan ke arah kami seolah-olah para Malaikat masuk di antara kami. Tidaklah air yang jatuh dari jasad Baginda melainkan ianya lebih wangi dari aroma kasturi." Katanya lagi : " Kemudiannya, kami kafankan jasadnya.".
Para sahabat bertanya sesama mereka : "Di manakah akan kita semadikan jasad Baginda?". Sesetengah mereka berkata : "Di Baqi'.". Imam Muslim meriwayatkan bahawa sesetengah sahabat berkata : "Kita semadikannya di sisi mimbarnya iaitu di dalam masjidnya.". Ini menunjukkan Allah melaknati Yahudi dan Nasrani yang menjadikan perkuburan para nabi mereka sebagai tempat sujud mereka. Ini bukanlah bermaksud laknat itu kerana kewujudan kubur di dalam masjid. Kalaulah kefahaman sebegini adalah benar,nescaya para sahabat terlebih dahulu menyedari hal ini hasil kehidupan mereka bersama Baginda. Akan tetapi ada dari kalangan mereka mencadangkan supaya meletakkan kubur Baginda di dalam masjid.
Abu Bakar As-Siddiq berkata kepada mereka : "Sesungguhnya para Nabi dikuburkan di tempat nafas terakhir mereka seperti mana yang telah aku dengari dari Rasulullah S.A.W."
Mereka menggali lubang. Maka turunlah Saidina Ali ke kubur Rasulullah S.A.W yang mana ianya salah satu dari taman-taman syurga. Antara yang turun juga adalah Syaqran,salah seorang pembantu Rasulullah S.A.W. Syaqran berkata : "aku melihat ke atas,tempat yang pernah diduduki Rasulullah S.A.W. Aku Kepiluan. Kami meletakkan Rasulullah di dalam kuburnya dan aku nampak tempat duduk Rasulullah S.A.W. Aku mengambilnya. Demi Allah! Tiada siapa yang dapat duduk di atasnya selepasmu wahai Rasulullah S.A.W." Imam Ali pun menimbusi Baginda.
Para sahabat tercemar dengan urusan pengebumian Baginda. Setelah itu datanglah Saidatina Fatimah Az-Zahraa yang tiada seorang pun yang mendapat musibah sehebatnya dengan pemergian Ayahandanya. Saidina Anas Bin Malik yang menjadi pembantu Ayahandanya yang terdidik di rumahnya. Beliau membesar di situ. Saidatina Fatimah melihat kepadanya dalam keadaan menangis lalu berkata : " Wahai Anas, Adakah engkau sanggup meletakkan tanah di atas Rasulullah?" Anas berkata dalam tangisan : "Celakalah kami, Celakalah kami, Celakalah kami wahai Fatimah. Sebenarnya kami tidak menyedari dengan apa yang kami lakukan. Kalaulah kami telah dengar apa yang kamu katakan sekarang ini, nescaya kami tidak mampu kebumikannya." Saidatina Fatimah pun berlalu dan seolah-olah tidak menyedari sesiapa pun. Hatinya merana dengan musibah itu. Dia berdiri di sisi kubur Ayahandanya dan mengambil segempal tanah lalu menciumnya. Beliau berkata dalam tangisan : "Apalah yang dirasai oleh pencium tanah kuburan Nabi Muhammad ini tidak selainnya sepanjang masa aku ditimpa musibah dan jika musibah selainnya menimpaku setiap hari nescaya tiada apa-apa.". Bertuahnya engkau. Tidak sampai lima bulan selepas itu,beliau pun mengikut jejak Ayahandanya. Bagaimanakah keadaanmu sekalian wahai sahabat Rasulullah selepas kewafatan itu? Adakah kamu sekalian memahaminya sebagai penghujung kehidupan Baginda? Demi Allah, ianya tidak begitu. Sangkaan sebegitu amat meleset sekali. Sepertimana yang disebut oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani di dalam kitab Fathul Bari pada jilid kedua dalam kitab "memohon pertolongan". Ianya juga diriwayatkan oleh Imam Balhaqi,Al Hakim dan Ibnu Khuzaimah dengan sanadnya yang sahih,bahawa Bilal Ibnu Al-Harith Al-Muzuni seorang sahabat Nabi. Beliau telah datang ke Makam Rasulullah S.A.W dalam masa kesulitan di zaman pemerintahan Saidina Umar. Beliau berdiri di sisi makam Baginda dan berkata : "Wahai Rasulullah. Banyak yang telah binasa. Mohonlah dari Allah air untuk umatmu.". Para sahabat tahu bahawa Baginda masih hidup di dalam kuburnya. Baginda mendengar selawat yang ditutur ke atas Baginda serta menjawab salam yang diucapkan kepadanya. Bagindalah yang telah berkata : " Sesungguhnya para nabi itu hidup dalam kubur mereka.". Baginda juga bersabda sepertimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim : " Pada malam Israk,aku telah melalui Makam Nabi Musa dan Baginda berdiri solat di dalam kuburnya. Kalaulah kamu semua berada di sana nescaya aku tunjukkannya kepadamu.".
Ini menunjukkan, kaitan kita dengar kesan-kesan tinggalan nabi-nabi dan makam-makam mereka. Supaya kita mengambil pengajaran,keberkatan serta mengetahui kedudukan mereka di sisi Allah Ta'ala. Ramai manusia tidak mengetahui kehidupan ini supaya menghormati kubur orang-orang islam secara amnya serta para nabi serta solihin secara khususnya. Kesannya kita memahami konsep kehidupan yang mana Allah memuliakan mereka dengannya dalam perkuburan mereka. Supaya kita menyedari kejelekan dalam kehidupan yang diami ini jika kita perhatikan serta fikirkan tentang kehebatan hidup yang mereka rasainya. Begitulah juga para sahabat Baginda. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam nuruddin Al-Haitami dalam kitab Majma' Az-Zawaald dengan sanad perawinya semuanya boleh dipercayai. Begitu juga yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad. Marwan Ibnu Al-Hakam melalui Makam Rasulullah pada satu malam,dia mendapati seorang lelaki duduk sambil meletakkan mukanya ke atas batu kuburan Rasulullah S.A.W,dia meletakkan mukanya di atas kubur Nabi sambil menangis. Marwan mengingkari perbuatan sebegini. Ingkarnya terhadap perasaan manusia terhadap para solihin dan tersentuh dengan kesan peninggalan adalah sesuatu yang kita dapati pada Ahzam iaitu sandiwara Kaum Bani Umayyah yang mereka warisinya. Beliau berpaling dan menolak lelaki itu dan bertanya : "Apa yang kamu lakukan?" Lelaki itu mengangkat kepalanya. Alangkah terkejutnya apabila mendapatinya adalah Abu Ayyub Al-Ansari,sahabat Rasulullah S.A.W. Baginda pernah singgah di rumahnya ketika hijrah pertamanya ke Madinah. Baginda meletakkan untanya di rumahnya. Inilah pegangan Abu Ayyub Al-Ansari. Apakah pegangan yang dibawa oleh mereka yang tidak diketahui oleh Abu Ayyub Al-Ansari. Siapakah yang membawa kepada kita fahaman yang tidak dipegang oleh Abu Ayyub Al-Ansari? Adakah kita ingin menghina fahaman yang dipegang oleh sahabat Rasulullah S.A.W serta kita katakan kononnya pegangan kita adalah Al-Quran dan As-Sunnah? Kita tidak menghina mereka yang berpegang pada Al-Quran serta mendapat As-Sunnah secara langsung dari Rasulullah S.A.W. Marwan bertanya pada Abu Ayyub : "Apa yang membuatkan kamu menangis wahai Abu Ayyub?" Beliau menjawab : "Aku mendengar Nabi bersabda : Janganlah kamu berduka jika agama itu dipegang oleh ahlinya. Akan tetapi,berdukalah jika yang memegangnya itu bukan ahlinya". Ibnu 'Asakir meriwayatkan dengan sanadnya yang baik dari Bilal Bin Rabah R.A ketika mana beliau berpindah dan tidak boleh untuk tinggal di Madinah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Ini disebabkan semua perkara di situ mengingatkannya kepada kehidupan Nabi di dunia ini. Mereka amat merasakan kehidupan Nabi di dunia dan kehidupan hakikinya yang berkekalan. Oleh itu mereka tidak dapat menerima kekurangan pada simbolik kehidupan Baginda di hadapan mereka walaupun sekadar kehidupan di dunia. Beliau tidak dapat bertahan di Madinah lalu meninggalkannya. Satu hari, beliau bangun dalam keadaan menangis di Daria salah satu tempat di Syam. Isterinya bertanya kepadanya : "Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Bilal?" Jawabnya : "Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W." Melihat Baginda adalah sesuatu yang benar seperti yang diceritakan dalam kitab Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Ahmad dan Imam Abu Daud. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis selainnya. "Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya nescaya dia akan melihatku secara langsung. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku." Nas sebeginilah yang termaktub dalam kitab Imam Bukhari. Jawab Bilal : " Semalam aku bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W." "Baginda berkata kepadaku : "Apakah kegersangan ini wahai Bilal? Sekarang tibalah masanya kamu menziarahiku" Hati manakah yang mendakwa cintakan Baginda tetapi tidak berhajat untuk menziarahinya? Saya pernah mendengar beberapa mulut berkata ketika hampir musim haji dengan kekerasan dan hati mereka diselubungi kegelapan. Katanya : " Ziarah Nabi bukanlah dari rukun perkara wajib atau syarat-syarat haji begitu juga perkara sunatnya." Apakah maksud di sebalik kata-katamu sebegini? Adakah maksudnya supaya Baginda tidak diziarahi? Kami pun tahu bahawasanya ini bukannya rukun haji atau syarat ataupun perkara-perkara wajibnya. Akan tetapi ianya adalah rukun perkara wajib serta syarat kasih sayang. Seseorang itu berdusta jikalau mendakwa dirinya mencintai Rasulullah dan dia pergi ke sesuatu tempat yang berhampiran dengan Baginda akan tetapi tidak terlintas di hatinya untuk menziarahi Nabi untuk berkata kepadanya : "Allah membalasmu dari kami dengan kebaikan". Kamu tidak perlu pergi. Baginda pun tidak memerlukan ziarah darimu. Allah Ta'ala sentiasa memerhatikan Rasulullah S.A.W. Apakah jenis hati umatnya yang tidak mengenali kemuliaan Baginda? Kalaulah dilaungkan selawat ke atas Baginda atau perhimpunan untuk selawat,mereka akan berkata : "Ini bid'ah,Janganlah berselawat ke atasnya." Jikalau Nabi dipuji mereka akan berkata : "Janganlah berlebihan atau memuja-muja" Kalau dibicarakan tentang kerinduan terhadap Baginda mereka akan berkata : "Cintakan Baginda adalah dengan mengikutinya." "Jangan berlebihan dalam kerinduan". Adakah objektifmu supaya kecintaan terhadap Baginda bertukar pada zahirnya sahaja tanpa apa-apa pengertian. Cinta itu di hati dan ikutan itu menguatkannya. Memang benar ada sesetengah mendakwa bahawa dia cinta tetapi tidak mencontohi Baginda. Dia khianati pada dakwaannya. Cuai dalam percintaanya. Merosakkan hubungannya dengan kekasihnya. Bagaimanakah kamu mencintainya sedangkan kamu tidak menyanjung sunnahnya dan adab-adabnya? Akan tetapi cinta itu juga bukan semata-mata mencontohinya. Kekadang aku mencontohinya kerana takut,tamakkan sesuatu,menjaga perasaan atau malu. Bukannya kerana kasih sayang.Cinta itu adalah perasaan di dalam hati. Ini membuatkan tuan punya hati itu mencontohinya setelah itu. Maka Bilal pun keluar. Bemusafir kepada Rasulullah S.A.W. Ketika berdiri di hadapan makam Baginda,beliau pun menangis. Beliau mengenangkan kehidupan Baginda. Beliau menangis dan meracau-racau setelah rebah di sisi makam Baginda. Bukanlah tujuan kita di sini supaya kita meracau-racau di kubur para solihin atau mengusap nisannya. Kita berpendapat seperti kebanyakan ulama antaranya Imam Nawawi sebagai adabnya, kita tidak dianjurkan untuk mengusap-usap kubur ataupun meracau-racau padanya. Adabnya kita perlu berdiri dan jaraknya dari kubur adalah sekitar 3 hasta tanda penghormatan bagi mereka di dalam kubur. Ini kerana kalaulah Imam Husain ataupun Saidina Abui Hajjaj yang makamnya di sisi,kita sekarang berdiri dihadapanmu, nescaya kamu menghormatinya dan tidak meracau-racau tangan dan bahu. Nescaya kamu berdiri di hadapannya sambil menundukkan kepala dengan penuh beradab. Adab pada menziarahi perkuburan adalah menundukkan kepala dengan penghormatan sekitar 3 hasta jaraknya merasakan kemuliaan orang yang berada di hadapan kita. Bukanlah mengusap itu haram. Bukanlah juga syirik sepertimana yang disangkakan oleh mereka yang jahil. Akan tetapi ianya tidak sempurna adabnya. Dikecualikan di sini mereka yang mengusap dengan penuh perasaan dan kerinduan. Mereka dalam keadaan amat rindu. Oleh itu Bilal terjatuh. Abu Bakar,Umar,Usman dan Ali tidak berbuat demikian. Tiada seorang pun dari mereka yang berbuat sedemikian. Ini kerana mereka mempraktikkan adab. akan tetati Saidina Bilal tertewas dengan kerinduan yang mendalam ketika memasuki Madinah dan berhadapan Makam Nabi S.A.W. Inilah kesederhanaan yang kita ketahui dan disedari oleh para ulama yang yang ada sekarang ini bahawa tajuk pengusapan itu dari segi adabnya bukannya menjejaskan aqidah. Aqidah itu tidak ditinggalkan oleh Nabi kepada kita melainkan setelah Baginda perkemaskannya. Kita bimbangkan syirik dan cabang-cabangnya. Inilah penipuan terhadap Allah dan RasulNya. Nabi bersabda dalam hadis sahih yang diriwayatkan Imam Bukhari dalam 5 atau 6 bab dalam kitanya : "Aku tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku". Dalam sesetengah riwayat Bukhari yang lain : " Sesungguhnya aku Demi Allah tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku". Baginda tidak bimbangkan kita dengan syirik dan mereka yang datang selepas itu berkata : "Kami bimbangkan kamu akan berlaku syirik". Katakan : " Tinggalkan kebimbanganmu untukmu sahaja". Allah tidak memberitahu kami bahawa engkau benar-benar menjaga perihal kami. Akan tetapi Allah memberitahu kami bahawa Saidina Muhammad yang benar-benar menjaga perihal kami. Orang yang benar-benar menjaga perihal kami berkata : "Demi Allah, Aku tidak bimbangkan kamu akan berlaku syirik selepasku". Pada salah satu riwayat Bukhari : " Akan tetapi aku bimbangkan dunia akan dibentangkan kepadamu. Kamu akan merebut-rebutnya sepertimana telah dibentangkan kepada mereka yang sebelummu. Kamu akan merebutnya sepertimana mereka merebut-rebutnya. Ia akan memusnahkanmu sepertimana ia memusnahkan mereka". Daripada berlumba-lumba pada dunia. Daripada menjual agamamu demi dunia. Daripada menjual akhlak,dasar,kemuliaan,istiqamah dan adatmu yang mulia demi dunia. Inilah yang dibimbangi Rasulullah S.A.W dengan kita. Baginda tidak bimbangkan terhadap kita dengan gambaran syirik dan selainnya. Apalah digembar-gemburkan oleh mereka tentang syirik sedangkan mereka membiarkan manusia berpaling ke arah dunia. Bilal terjatuh ke atas makam Baginda dalam tangisan. Abu Bakar menjumpainya dan beliau turut menangis bersamanya. Apabila Bilal melihat Abu Bakar dia ternampak persahabatannya yang akrab dengan Rasulullah S.A.W. Apabila Abu Bakar pula melihat Bilal,dia melihatnya sebagai muazzin,pembantu Nabi dan pembawa barangan Nabi S.A.W. Kemudian Abu Bakar meminta : "Adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan untuk Rasulullah S.A.W?" Jawab Bilal : "Maafkanku wahai Khalifah Rasulullah S.A.W. Demi Allah aku tidak mampu untuk melaungkan azan selepasnya". Kata Bilal : " Aku telah menolak permintaan Abu Bakar. Dulunya setelah aku melaungkan azan,aku melalui rumah Baginda dan berkata " Solat wahai Rasulullah S.A.W " Sekarang ini kepada siapakah akan aku katakannya?" Abu Bakar dan Umar turut menangis, Saidina Bilal bertemu pula dengan Saidina Hasan dan Saidina Husain. Mereka masih kecil dan besar kehebatannya. Seorang berusia 9 tahun dan seorang lagi 8 tahun. Ulama berselisihan pada perkara ini. Lebih kurang setahun perbezaannya. Beliau bertemu mereka lalu memeluk dan mencium mereka berdua. Beliau terhidu pada mereka berdua kewangian Rasulullah S.A.W. Bau Rasulullah S.A.W terdapat pada keluarganya. Kemudian mereka berkata kepadanya : " Wahai Bilal, adakah kamu boleh azankan untuk kami sepertimana engkau azankan pada Datuk kami. Kami amat rindukan untuk mendengar laungan azanmu." Bilal terdiam dan menangis
lalu berkata : "Apa akan aku katakan? Aku telah menolak permintaan Abu Bakar dan Umar. Apakah akan aku katakan kepadamu wahai cucu-cucu Rasulullah S.A.W? Aku bimbangkan kalau aku tidak tunaikannya di dunia ini untuk kamu,Datuk kamu tidak menghiraukanku pada hari kiamat". Para sahabat memang hebat kecintaan mereka terhadap keluarga Rasulullah S.A.W. Pada hari ini ada beberapa pihak mendakwa cintakan keluarga Baginda lalu menjatuhkan sahabat atau tidak beradab dengan mereka. Kita katakan kepada mereka : "Nyah kamu dari sini bersama cintamu. Ikutkan kami dalam mencintai keluarga Baginda adalah para sahabat". Tidak mungkin kecintaan terhadap keluarga Baginda akan berhimpun dengan kebencian terhadap Saidina Umar di dalam hati. Berdustalah sesiapa yang mendakwa cintakan keluarga Baginda dan masih berpendapat sebegini. Kemudian mereka menjatuhkan para sahabat ketua keluarga itu. Saidina Ja'afar As-Sadiq Bin Muhammad Al-Baqir Bin Ali Zainul Abidin Bin Husain berkata ketika nazak saat beliau ditanyakan : "Apakah akan Allah balas terhadap Abu Bakar dan Umar?" Jawabnya : "Aku sekarang ini nazak dan aku tidak bimbangkan sesiapa. Aku katakan kepadamu. Aku terlepas dari kesalahan terhadap Rasulullah S.A.W kalaulah aku terlepas dari Abu Bakar dan Umar." Inilah sebenarnya mazhab Ahlul Bait. Kata Saidina Abu Bakar : " Hampirilah Nabi Muhammad itu dengan menghampiri keluarganya". Saidina Umar pernah berkata kepada Saidina Husain sambil menyapukan kepalanya : " Tidaklah tumbuhnya rambut kami melainkan denganmu wahai keluarga Rasulullah S.A.W." Kata Bilal : "Aku tidak dapat menolak permohonan kamu berdua ini." Maka Saidina Bilal pun menaiki tempat laungan azannya pada zaman Rasulullah S.A.W. Dia pun melaungkan azan : "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar" Begegarlah Madinah dengan tangisan. "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar" Para wanita meraung di dalam rumah mereka. Mereka berkata : " Adakah Rasulullah S.A.W diutuskan lagi?" Inilah azan yang pernah mereka dengarkannya pada zaman itu dan telah terhenti. Ini mengingatkan mereka pada Baginda. Ini juga melambangkan bahawasanya Baginda hidup di dalam hati mereka. Baginda hidup di dalam hati mereka. Baginda hidup dan tidak mati di dalam hati mereka. "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah". Maka perempuan-perempuan keluar dari kediaman mereka. Mereka adalah anak-anak gadis yang tidak keluar dari rumah. Bagaimana anak-anak gadis hari ini? Adakah wanita hari ini masih dalam sifat malu mereka atau mereka menanggalkan rasa malu mereka? Adakah idola mereka itu masih Fatimah Az-Zahraa,Khadijah Al-Kubra dan Aisyah Ar Ridha? Ataupun idola mereka si dia atau si dia dari mereka yang menanggalkan rasa malu dan agama? Jagalah rumahtanggamu. Inilah simbolik bagi kehidupan Rasulullah S.A.W dalam rumahtanggamu. Maka keluar anak-anak gadis dari rumah ke jalan-jalan di Madinah bertempik : "Rasulullah S.A.W diutuskan lagi" "Rasulullah S.A.W diutuskan lagi" "Rasulullah S.A.W diutuskan lagi" Ketika mana Bilal melaungkan : " Aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah." Suara Bilal menjadi sayu. Dia berhenti dan tidak mampu untuk menyambungnya. Dia turun sebelum menyempurnakan azannya. perawi mengatakan : "Madinah tidak pernah kelihatan sayu begitu selepas kewafatan Baginda melainkan pada hari Bilal melaungkan azannya." Azan Bilal telah membasahi hati-hati mereka dengan kerinduan terhadap Rasulullah S.A.W. Ini menggerakkan simbolik kehidupan Nabi Muhammad S.A.W pada hati-hati mereka. Baginda S.A.W walaupun telah meninggalkan dunia tetapi Baginda masih hidup. Apakah habuanmu dari kehidupannya? Zat Baginda adalah hidup. Tetapi keadaanmu bersamanya! Kalaulah kamu memohon ikatan kehidupanmu bersama Allah, manakah ikatan dari kehidupan Baginda dalam dirimu? Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu dengan kecintaan dan penghormatan serta lain lagi. Jikalau Nabi itu hidup pada dirimu dengan membiasakan sunnah-sunnahnya dan adabnya. Jikalau Nabi itu hidup pada dirimu pada merindukannya dengan berakhlak dengan akhlaknya. Jikalau Nabi itu hidup pada dirimu dengan membawa kegigihannya bersama Allah dan dia gigih berkhidmat terhadap umatnya,nescaya Nabi itu akan hidup pada dirimu. Rasulullah S.A.W tidak berhajat kepada sesiapa untuk menceritakan bahawa Baginda hidup. Akan tetapi wahai saudaraku, kita semua yang berhajat untuk mengetahui kehidupan Rasulullah S.A.W. Ini untuk memperbaharui kehidupannya dalam diri kita. Matamu,hidupkannya dengan kehidupan mata Baginda,Janganlah engkau lihat kepada perkara haram. Telingamu,hidupkannya dengan kehidupan telinga Baginda,janganlah mendengar perkara haram. Jangan engkau tuturkan dengan lidahmu melainkan ianya menyebabkan engkau bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu,nescaya engkau tidak boleh memutuskan silaturrahim yang Baginda laranginya. Rasulullah S.A.W bersabda : " Orang yang memutuskan silaturrahim dilaknati walaupun dia meninggal dunia di tengah-tengah Kaabah." Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu,nescaya engkau tidak sanggup makan sesuap benda haram walaupun ianya seluruh dunia ini. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu,nescaya engkau tidak mengutamakan sesuatu yang binasa berbanding yang kekal. Nescaya engkau tidak cemarkan hatimu yang hidup dengan Rasulullah S.A.W dengan maki hamun ataupun sikap membenci walaupun terhadap orang yang mencacimu atau menyakitimu. Jikalau Nabi itu hidup pada hatimu,masa itu tidak akan berlalu melainkan engkau akan memohon rahsia kehidupan dengan mengingati Allah Ta'ala. Pohonlah perkara sebegini dan hidupkanlah dengannya rumahtanggamu bersama sunnah Rasulullah S.A.W. Hidupkan masjid-masjidmu dengan membaca Kalam Allah. Hidupkan jalan-jalanmu dengan adab-adab Rasulullah S.A.W. Hidupkan pasar-pasarmu dengan adab serta hukum-hakam Rasulullah S.A.W. Saidina Ali Bin Abu Talib pernah berkata : "Pasar orang-orang Islam seperti tempat solat mereka yang bersolat.". Iaitu hidup dengan zikir,ibadah dan muamalah bersama Allah. Hidupkan pengertian sebegini,nescaya engkau hidup dengan kehidupan yang tidak akan musnah dan berakhir selama-lamanya. Sehingga Allah menghimpunkanmu bersama kehidupan sebenarnya dalam alam barzakhmu. Kemudian di hari kiamat bersama Nabi Muhammad. Kemudiannya di syurga Firdaus yang tertinggi. Semoga Allah menjadikan kita dari mereka yang hidup sebegitu. Amin.

0 comments: